Friday, December 30, 2011

Selamat Datang 2012

KakJlo gembira dengan kedatangan tahun baru 2012.  Begitulah setiap tahun perasaan KakJlo setiap kali menyambut tahun baru.  KakJlo tidak tahu mengapa tetapi apa yang dapat KakJlo rasa setiap tahun baru akan ada perubahan atau benda baru dalam kehidupan KakJlo.  Tidak kira dari segi apa pun, impak yang macam mana sekalipun, KakJlo tetap menghargainya.  KakJlo amat berharap untuk tahun 2012, anak-anak KakJlo yang akan menghadapi peperiksaan yang besar, akan berjaya dengan cemerlang.  Begitu juga KakJlo berdoa agar 2012 akan memberikan sinar harapan kebahagiaan yang berpanjangan buat KakJlo dan anak-anak.  Semoga kami dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki yang diberkati, InsyaAllah.

Sunday, December 4, 2011

Liku Kehidupan

Kita sudah pun menghampiri bulan akhir 2011.  Sekejap sangat masa berlalu. 
Rasanya baru sahaja menyambut tahun baru di Bukit Fraser tahun lepas, dah
nak sambut lagi tahun baru yang lain.. Di sepanjang perjalanan tahun 2011,
banyak kenangan manis, sedih, sakit tetapi itu semua seolah-olah memberi
kekuatan dan ketabahan kepada KakJlo.  Sememangnya kita sentiasa berdoa
akan kebahagiaan, ketenangan tetapi kalau ada kesulitan di pertengahan jalan
tempuhi lah dengan redha. 

Terbaru kereta KakJlo dilanggar dari belakang oleh lori di jalan yang sesak.
KakJlo dah perhatikan lori ni ikut dekat sangat dengan kereta KakJlo tetapi
KakJlo tak boleh nak lari sebab semua kereta bergerak perlahan. Syukur
KakJlo selamat tetapi kereta calar balar dan kemek depan belakang sebab
KakJlo terlanggar kereta depan akibat rempuhan kuat lori tu.. Sekarang
kereta KakJlo masih lagi dibaiki.  Tetapi disebabkan kejadian ini, KakJlo
dapat membuat ukhwah dengan beberapa kenalan baru..Alhamdulillah....

Allah memberi kita matahari dengan sinar yang gemilang.  Tetapi tiba-tiba Allah
turunkan petir dan hujan.  Kita tertanya-tanya di mana matahari sembunyi.
Rupa-rupanya Allah ingin memberikan kita pelangi yang indah.....

Thursday, October 20, 2011

Raya 2011

Nampaknya raya 2011 ni memang raya yang paling panjang... sampai habis syawal pun masih lagi ada rumah terbuka.. Maklum la tali silaturahim banyak yang bersambung kembali, Alhamdulillah... raya haji dah dekat, bermakna akan bersambung lagi la perayaan tu..  seronok dapat berkumpul dan bertemu kembali rakan-rakan yang memang sudah lama tidak dengar kabar berita.  tambah seronok bila ahli keluarga masing-masing turut serta.. memang meriah.. semoga tali silaturahim ini berkekalan, amiiiin. 

Wednesday, August 17, 2011

Ramadhan Al Mubarak

Selamat datang Ramadhan... syukur dapat berada di bulan Ramadhan kembali.  Bulan yang penuh rahmat dan berkat.  Kak Jlo dan anak2 dapat berpuasa dengan tenang walau pun di awal Ramadhan Kak Jlo diuji.  Anak Kak Jlo berpuasa seperti biasa tetapi masuk hari keempat dia mengalami sakit perut sampai berguling2.  Menurut kata doktor pertama yang dirujuk, disebabkan gastrik. Tapi Kak Jlo macam tak percaya sebab anak Kak Jlo ni tak pernah ada sakit perut yang melampau.  Kak Jlo rujuk pula kepada doktor kedua di sebuah hospital.  Sah, bukan gastrik tetapi angin dan mungkin ada sedikit keracunan makanan.  Maklumlah bulan puasa ni jalan sesak teruk, memang tak sempat nak memasak.  Jadi semua juadah untuk berbuka Kak Jlo beli di gerai.  Kak Jlo masak untuk bersahur sahaja. Sekarang Kak Jlo berhati-hati dalam memilih juadah dan juga gerai. Kak Jlo berdoa semoga kami dapat menjalani puasa dan beribadat dengan baik dan sempurna dan diterima olehNya., InsyaAllah.....

Sunday, July 10, 2011

Jumpa Lagi...

Satu lagi perjumpaan, 9 Julai 2011.. kali ini lebih besar jumlahnya..kawan-kawan semasa belajar di kolej pula...Agaknya  bulan Julai adalah bulan perjumpaan kawan lama yang sudah berpuluh tahun tidak bertemu... Hiruk pikuk jadinya dewan tempat kami berkumpul.. walau masing-masing berasa cuak untuk ke tempat pertemuan disebabkan operasi "Bersih", kemahuan mengatasi segalanya... Akhirnya kami dapat berjumpa lagi... Pertemuan ini memang hebat di tambah dengan persembahan dan nyanyian daripada kalangan kawan-kawan yang dulunya memang mempunyai bakat... Terima kasih kepada jawatankuasa penganjur... Dewan yang cantik, makanan yang sedap, hiburan yang segar, hadiah yang memang lumayan... Ini adalah satu permulaan.. selepas ini akan ada lagi pertemuan.. InsyaAllah dengan umur yang panjang, kesihatan yang baik dapat kita berjumpa lagi...

                                      Sopan santun berbudi bahasa
                                      Jadikan amalan setiap masa
                                      Kasih mesra terjalin rasa
                                      Silaturrahim kekal selama

Monday, July 4, 2011

Kasih sahabat bertaut kembali...

30 tahun...memang la terlalu lama... masing-masing membawa haluan sendiri. Menongkah arus cabaran, membina keluarga bahagia yang diimpikan... Kini selepas semua telah dicapai, melalui teknologi yang canggih, kami dapat bertemu semula.  2 Julai 2011.. kami bertemu kembali...40 orang dapat dikumpulkan..sedih, bahagia, teruja.. Ada yang tak kenal rupa, ada yang dah lupa nama...namun masih ada juga yang tetap seperti dulu..  kami bertanya kabar, bercerita kisah lama, melihat gambar manis dan comel sambil gelak ketawa... rasa macam kembali ke alam dulu.. alam persekolahan..yang tiada masalah, hanya gembira dan bermain...

Kami terbawa-bawa perangai kanak-kanak riang...lupa yang kami telahpun mempunyai keluarga.. begitu la asyik bertukar cerita...tak sedar dah sampai masa kami harus berpisah untuk hari itu...  kini cerita di sambung pula di alam siber... sungguh bahagia... sahabat...teruskan silaturrahim ini.. sesungguhnya bukan mudah untuk mendapat sahabat yang memahami kerana kita telah berkenalan seawal usia 7 tahun lagi.. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan hidayahnya kepada kita semua, insyaAllah...

             
                            Indah sungguh rupamu pelangi
                            Berseri indah di sinar suria
                            Kasih mekar harum mewangi
                            Sahabat sejiwa bertaut rasa

Wednesday, June 22, 2011

Ikan saya dah pergi!!!

Baru semalam KakJLo bercakap dengan ikan laga ni.. namanya Zax..kepunyaan anak KakJLo.  Bila KakJLo panggil, mesti dia datang..seolah-olah dia faham.. warnanya kebiruan..cepat sungguh ia membesar walaupun baru 6 bulan...tapi mengikut teori, ikan laga boleh hidup hanya 3 bulan..

Tiba-tiba pagi ni, anak KakJLo beritahu dengan suara yang hiba, Zax dah pergi..Zax dah mati..sayu KakJLo dengar suaranya.. dia tanya apa patut dia buat.. tak sampai hati pulak nak kata buang je ke dalam tong sampah kan... KakJLo cadangkan Zax dibungkus dalam plastik sebelum diletakkan dalam tong sampah...

Apa yang KakJLo diberitahu kemudiannya ialah Zax diletak dalam plastik yang berisi air sebelum dibuang... KakJLo tahu anak KakJLo ni memang sayangkan Zax.. Tak ape lah anakku.. tebarkanlah kasih sayangmu kepada semua termasuklah Zax, seekor ikan laga yang tak akan dilupa, buat selamanya...

Wednesday, June 1, 2011

Ada Hikmahnya....

Satu pagi, selepas bersarapan, masih di meja makan, sekeluarga iaitu ibu, 2 orang kakak, seorang adik lelaki dan menantu perempuan.  Menantu memulakan bicara. Keluarga akan menerima seorang lagi menantu perempuan iaitu madunya.  Semua kelu.  Sememangnya berita ini amat mengejutkan walaupun telah diketahui secara samar2 sebelumnya.  Kali ini pasti.  Menantu dan sesekali adik lelaki mencelah untuk memberi penjelasan dan alasan mengapa perkara ini harus terjadi.  Menantu sangat tabah dan sanggup berkorban demi suami. Manakala adik lelaki hanya menyerah kepada keadaan.  Kakak pertama tidak rela mengkhianati anak saudara lalu keputusannya TIDAK.  Kakak kedua lebih terbuka, tidak menerima dan tidak menolak.  Nasihatnya jaga amanah dan jangan sesekali mengabaikan keluarga yang ada sekarang.  Jika terjadi sesuatu kepada keluarga yang ada sekarang, maka dia akan bertindak.  Adik lelaki berjanji akan berlaku adil.  Si Ibu pula memang tidak rela dan reda dengan pertambahan keluarga.  Kakak kedua menasihatkan Ibu untuk mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya.  Sedih dan pilu bila mengenangkan apa yang terjadi tetapi setiap yang berlaku tentu ada hikmahnya...

Friday, May 20, 2011

Pasrah

Alhamdulillah.... syukur anak KakJlo dah boleh makan dan pergi sekolah
seperti biasa.  Anak KakJlo ni dah lebih seminggu tak sihat dan duduk dalam
wad hospital.  KakJlo pun turut resah sebab suhu badannya sangat tinggi. 
Bila dapat tahu virus yang dihidapainya lagi lah KakJlo panik. Tak kuat rasanya
nak hadapi ujian ini.  Sedih dan lemah.  Tetapi KakJlo tak boleh tunjuk depan
anak-anak yang lain.  KakJlo kena kuat.  Tak sangka, dalam KakJlo berjaga-jaga
terkena juga virus ni.... Menurut kata doktor, selagi suhu badannya tinggi,
menunjukkan virus tu masih ada lagi.  KakJlo pasrah.  Hari yang dilalui dirasakan
sangat panjang.  KakJlo hanya boleh berdoa agar anak KakJlo cepat sembuh.
Dan hari ini, KakJlo masih bimbang.  Selalu memantau suhu badannya.

Tuesday, April 19, 2011

Ketentuan

Nasib untung kita memang ditentukanNya tetapi kita boleh berusaha
untuk mengelak dengan izinNya.  KakJLo mendapat berita
anak kenalan punya kenalan telah pergi selamanya dalam
keadaan tragis. Arwah seorang gadis manis berusia 21 tahun
telah menelan ubat berlebihan sebab tidak lagi dapat bertahan
dengan keadaan hidup yang menekan disebabkan oleh keluarga
yang porak peranda.  Walaupun tidak mengenali arwah dan
keluarganya tetapi KakJLo turut bersimpati dengan apa yang
terjadi. Banyak pengajaran yang KakJLo dapat daripada kejadian
ini.  KakJLo sentiasa berdoa semoga kita semua terhindar daripada
ujian ini dan semoga Allah sentiasa merahmati kita semua, amiiin...

Thursday, March 24, 2011

Tulis Menulis

Lama dah KakJLo tidak menulis.  Setiap kali perasaan hendak menulis tu datang,
setiap kali  tu jugak la ada aje hal yang menghalang.  Sebenarnya bab tangguh
menangguh ni la yang menjadikan tidak produktif.  Banyak projek baru yang
memerlukan idea KakJLo tangguh terutamanya projek menulis buku yang
tertangguh dah masuk dua tahun.  Kesian dengan cikgu terjemahan KakJLo
yang memberi galakan dan peluang dengan agensi kerajaan dalam menghasilkan
buku tersebut.  InsyaAllah akan KakJLo usahakan nanti walaupun beberapa
tahun yang akan datang..(sikap tangguh menangguh datang lagi...).
Tapi buat masa yang terdekat KakJLo hendak menulis sajak untuk satu pertandingan
anjuran sebuah kelab di tempat kerja KakJLo ni.. ye..KakJLo pasti yang ini
akan KakJLo tunaikan sebab tarikh tutup dah dekat...

Sunday, March 6, 2011

Amiiinnnn....

Tambah setahun lagi umur kakJLo.  Alhamdullillah, kakJLo masih bertenaga lagi
untuk bersenam, beraerobic, berpoco-poco dan berjalan jauh (entah berapa km) untuk
menjamu mata di pusat beli belah.  Awal-awal lagi anak2 kakJLo dah tanya nak hadiah apa.
KakJLo tak sampai hati sebenarnya nak mintak apa2, maklum lah budak2 sekolah kan.
Anak2ku, mama bersyukur dan terharu atas ingatan itu.  Terima kasih kerana belanja mama
minum petang.  Terima kasih kerana hadiah (surprise) tu..  dan Terima kasih sesangat sebab
ada disamping mama pada saat ini dan sampai bila-bila, insyaAllah....


                 

Friday, February 18, 2011

Semangat Baru

KakJLo tengah bersemangat Sekarang ni. Maklum la banyak dah kempen menjaga kesihatan diwarkan. KakJLo pun rasa dah sampai masa untuk kakJLo serius hal kesihatan ni. Baru-baru ni tempat kerja kakJLo ada buat program kesihatan macam biggest loser tu.. 6 bulan memang la lama tapi kakJLo dah nekad untuk ikut program ni sampai habis. Dah masuk minggu ketiga tapi belum ada perubahan... selera makin bertambah.. apa dah jadi ni. Kalau boleh kakJLo nak macam dulu, boleh meredah hutan macam dulu, boleh panjat puncak gunung macam dulu..tapi kali ni buat semua aktiviti tu dengan anak2. KakJLo harap akan ada perubahan pada minggu yang mendatang...

Monday, February 14, 2011

Tabahkan hatimu...

KakJLo sedih sangat bila dapat berita ada kawan2 kakJLo yang diduga
dengan sakit yang berat.  Berat mata memandang, berat telinga mendengar
berat lagi bahu yang memikul.  Kadang2 tu kakJLo nak jugak selalu bertanyakan
kabar, tetapi rasa macam mengganggu la pulak sebab tentu mereka perlukan masa
untuk menerima takdir ini.  KakJLo dapat tahu ada yang sedang sakit ni tidak mahu
diketahui oleh orang lain.  Mungkin mereka ada sebab dan alasan yang hanya mereka
yang tahu.  KakJLo mendoakan semoga kalian semua cepat sembuh dan tabah dengan
dugaan ini, amin.

Sunday, February 6, 2011

Bahagia

Aku bahagia kembali... tamat sudah seminggu kem motivasi tu.
Semalam sempat kami berempat menonton Green Hornet.
Ceritanya biasa2 je tapi penuh aksi, dan menghiburkan.
Ada pula adegan kungfu, memang la KakJLo suka.
Sampai keluar panggung, masih lagi bercerita pasal filem tu.
Anak2ku macam nak balas dendam selepas terkurung selama seminggu.
Tak pe la anak2ku, mintak la ape aje, akan mama tunaikan...
sebenarnya permintaan mereka tu pun semuanya pasal "makan"..
Dan...sesungguhnya mama bahagia sangat di kelilingi oleh kamu semua.

Tuesday, February 1, 2011

Sedih sebab rindu

KakJLo baru terima sms.."mama saya nangis mlm tadi sbb rindu kat mama"
KakJLo dapat merasakan kesedihan dan kerinduan itu.
Walaupun baru semalam kita berjumpa, tetapi kerinduan itu
tidak dapat dilenyapkan.  Anggaplah ini sebagai persediaan
yang harus ditempuhi jika AR2 masuk kolej nanti (4 thn lg).
Sebenarnya KakJLo nak melatih anak2 KakJLo jangan
terlalu bergantung dengan mamanya.  Itu sebab mereka
paksa rela mengikuti kem motivasi selama seminggu cuti
raya cina ni...daripada duduk kat rumah yg dah tentunya
mengadap laptop/game 24 jam.  tak gitu...

Tapi dalam pada tu, KakJLo dah cadang nak jenguk jap
kat kem tu esok... itulah naluri seorang ibu....

KL Sunyi

Bahagianya kalau hari2 mcm ni...
Tak sampai 20 minit dah sampai pejabat...
Hati pun tenang je masa memandu tadi.
Selalunya pagi2 lagi dah berkerut2 dahi menahan marah.
Sampai pejabat pun, sunyi jugak sebab ramai yang bercuti.
Semoga KakJLo dapat menikmati ketenangan hari ini
walaupun masih tetap merasa sunyi....

Monday, January 31, 2011

Sepi itu indah

Sepi itu kadangkala menyakitkan
Sepi itu juga mengajar ketabahan
Sepi itu sememangnya sepi, senyap, sunyi
Dan sepi itu juga amat indah........